Siapakah Dajjal?

Dajjal ialah seorang pemuda, berambut kerinting dan sebelah matanya tersembul. (buta sebelah). Dajjal itu dari bangsa Yahudi dan pengikutnya juga terdiri dari 70,000 bangsa Yahudi.

Di mana keluarnya Dajjal?

Dia akan muncul (dikenali) di antara Sham dan Iraq dan melakukan kemusnahan di serata tempat yang ia sampai.

Dakwaan Dajjal sebagai tuhan

Dajjal akan mendakwa dialah tuhan dengan menunjukkan bukti-bukti seperti dihidupkan orang mati setelah dipotong dua badannya. Dajjal akan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai tuhan menjadi mewah dan makmur. Dan kampung orang yang enggan menerima dakwaanya menjadi susah meleset. Namun orang yang kuat imannya akan berkata “kamulah Dajjal”.

Makanan Mukmin di zaman Dajjal

Pada masa itu orang mukmin yang enggan mengakui dakwaan Dajjal sebagai tuhan disekat bekalan makanan (tanah mereka terbiar, kering kongtang dan tiada tumbuhan untuk dimakan). Namun mereka tetap kenyang dengan bertasbih iaitu berzikir dengan mengucapkan “Subhanallah“. Seperti dalam hadith Nabi s.a.w:

Makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Barangsiapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan kelaparan.
Berapa lama Dajjal bermaharajalela?

Dalam hadis diceritakan:

Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, berapa lama ia bermaharajalela di bumi?

Baginda s.a.w. menjawab “Empat puluh hari – Hari yang pertama: panjangnya seperti setahun. Hari yang kedua: panjangnya seperti sebulan. Hari yang ke tiga : panjangnya seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: seperti hari-hari kamu yang biasa”

Kami bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, bagi satu hari yang seperti satu tahun, adakah sembahyang sehari semalam memadai?”

Baginda s.a.w. bersabda, : “Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu mengikut kadar masa yang biasa kamu lakukan.”
Gelaran Al Masih

Semasa Dajjal bermaharajalela, Allah akan menghantar Nabi Isa Al-Masih turun di menara putih di timur Damsyik (Syria). Dajjal juga dikenali dengan Al Masih, yang bermaksud banyak berjalan, Dajjal banyak berjalan untuk menyesatkan manusia. Dajjal dan pengikutnya tidak boleh memasuki Mekah dan Madinah kerana kedua bandar suci ini dikawal oleh malaikat setiap kali mereka menuju ke sana, dipusingkan badan mereka ke arah lain.

Pada masa itu juga berlaku “zalzalah” (gempa bumi) sehingga ada penduduk Madinah yang tidak tahan lalu keluar dari situ. Akhirnya mereka menjadi mangsa Dajjal.

Seperti ditulis sebelum ini, Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa yang akan turun selepas Imam Mahdi:-
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:

“Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat“. Lalu Nabi saw. bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya“. Kemudian beliau menyebutkannya:


    • Asap,

    • Dajjal,

    • Binatang,

    • terbit matahari dari tempat tenggelamnya,

    • turunnya Isa bin Maryam alaihissalam,

    • Yakjuj dan Makjuj,

    • tiga kali gempa bumi, sekali di timur,

    • sekali di barat dan

    • yang ketiga di Semenanjung Arab

    • yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.

      (H.R. Muslim)
      Sejarah dan fakta telah membuktikan bahawa abad ke 19 adalah milik Kristian, abad 20 dikuasai Yahudi dan abad 21 adalah milik Islam, InsyaAllah.

      Terdapat beberapa hadis yang menerangkan perkara ini di antaranya:

      Abu Hurairah (RA) meriwayatkan dari Nabi S.A.W yang bersabda: “Kiamat (as-Sa’ah) tidak akan berlaku sebelum orang Islam memerangi Yahudi dan orang Islam akan membunuh mereka dan menyebabkan orang Yahudi berlindung di sebalik batu dan pokok, sehingga batu dan pokok akan berkata, “Wahai orang Islam, Wahai hamba Allah! Orang Yahudi ada di belakangku, sila datang dan bunuh ia” (HR Muslim)

      “Tidak berlaku kiamat sehinggalah dibuka Rom…” (HR Muslim). Hadis ini berkaitan kebangkitan Islam di Eropah Barat.

      Namun, kemenangan Islam tidak akan datang dengan hanya berpeluk tubuh. Perjuangan, kesungguhan dan pengorbanan umat Islam diperlukan ke arah kejayaan ini.

      Kata pujangga agung Dr. Sir Mohd Iqbal,

      Oleh itu, wahai para muslim!

      Baca sekali lagi,

      Pelajaran mengenai kebenaran,

      Keadilan dan keperwiraan!

      Hanya dengan itu sahaja,

      Allah akan menganugerahkan kepadamu,

      Kepimpinan bagi seluruh dunia!

      Iman yang kukuh,

      Usaha yang berterusan,

      Dan cinta menguasai dunia,

      Ini semua adalah pedang-pedang,

      Untuk para perwira,

      Bagi perjuangan dalam kehidupan!
      Wallahu’alam.